26 May 2008

Kenangan bersama Jasni9505


Ini merupakan gambar lama antara aku, doc9509 dan Mamat9557 bersama dengan arwah Jas9505. kalau tak silap aku, gambar ini adalah program ERA8, program terakhir ERA yang aku turut serta. (Kalau tak silap aku, pada tahun 2000).

Diharapkan kepada kawan-kawan lain yang mempunyai gambar-gambar lama, yang boleh berkongsi dalam blog kita nie (walaupun program tu masa kita kat GPMS-ITM Shah Alam).... silalah kirimkan pada saya.

Sekian.

Sahabat-Gunung

25 May 2008

GEJALA DADAH TERUS MEREBAK- Publisiti kesan buruk penagihan dadah seolah-olah tidak berkesan. Mengapa Jadi Begini?

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh (faizal9506@gmail.com)

DADAH adalah satu-satunya fenomena sosial paling rumit yang sedang dihadapi oleh negara. Masalah ini mula diperkatakan sejak tahun 70-an lagi, tetapi sehingga kini masih tidak menampakkan perubahan positif. Masalah dadah sebenarnya adalah masalah sejagat. Sebagai sebuah rantau yang dikatakan banyak menerima perubahan serta pembangunan, rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia turut mengalami pelbagai gejala sosial. Penyalahgunaan dadah terutamanya di kalangan remaja amat membimbangkan dan ia berkait rapat dengan bermacam penyakit sosial seperti pelacuran, lepak, dan perjudian. Perkara inilah yang banyak menggugat dan memudaratkan keadaan sesebuah negara sama ada dalam bidang ekonomi, sosio-budaya, politik mahupun keselamatan. Dengan lain perkataan, kemajuan serta pembangunan yang kita capai dan kecapi selama ini tidak akan berkekalan sekiranya masalah dadah tidak dapat diatasi segera.

Meneliti statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mencetuskan perasaan sedih dan membimbangkan.Laporan ini membentangkan statistik penagihan dadah terkini yang dikesan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mac 2007 yang dikumpul dan dikeluarkan oleh Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI). Sepanjang tempoh tiga bulan pertama pada tahun 2007 menunjukkan seramai 3,731 orang penagih dadah dikesan, namun menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 46.71% berbanding tempoh masa yang sama pada tahun 2006 iaitu 7,001 orang. Mereka terdiri daripada 1,738 orang (46.58%) penagih baru, menurun sebanyak 40.74% berbanding 2,933 orang bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. Manakala penagih berulang yang dikesan adalah seramai 1,993 orang (53.42%), menurun sebanyak 51.01% berbanding tahun 2006 iaitu sebanyak 4,068 orang.

Ramai Belia Terlibat

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2007, golongan belia yang berumur antara 19 hingga 39 tahun masih lagi majoriti penagih yang dikesan iaitu seramai 2,681 orang (72.62%) manakala seramai 93 orang (2.52%) adalah penagih remaja yang berusia di antara 13-18 tahun. Berdasarkan laporan AADK ini, kita boleh melihat masih ramai golongan belia yang terjemurus dalam perangkap najis dadah. Walaupun laporan ini menunjukkan sedikit penurunan jumlah penagih, namun ia masih belum dapat menyelamatkan generasi muda dari terjebak dalam lembah kehinaan ini.

Siapa harus dipersalahkan? Pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak lain sentiasa mengingatkan orang ramai, padahnya penyalahgunaan dadah, malah turut mengambil tindakan tegas terhadap semua yang terlibat seperti pengedar, penagih, penjual dan pembekal, tetapi hakikat ini seolah-olah langsung tidak mendatangkan kesan. Mengikut statistik, kategori umur antara 25 hingga 29 tahun merupakan bilangan penagih paling ramai dikesan (20.07%), satu hakikat yang amat membimbangkan kerana ia mampu menjadi satu wabak dan bencana yang menakutkan masyarakat dan negara.

Mengapa ia menakutkan masyarakat dan negara? Ini kerana dadah menjadi punca kepada bermacam perbuatan jenayah yang boleh membawa kepada kekacauan serta permasalahan dalam rumahtangga, masyarakat dan negara. Penagih dadah menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara seluruhnya manakala pengedar dadah pula menjadi ancaman besar kepada setiap individu dan boleh menjejaskan kesejahteraan negara dan agama. Jika ini berlaku, bagaimana kita mahu memperjudikan masa hadapan negara dan bangsa di tangan mereka kelak?

Faktor terjebak dalam penagihan dadah

Remaja adalah golongan yang paling mudah terpengaruh. Menurut statistik, mereka yang terjerumus ke kancah ini disebabkan pengaruh kawan atau teman sebaya sepanjang Januari hingga Mac 2007 adalah seramai 1,550 orang (53.71%) manakala faktor dorongan perasaan ingin tahu menyumbang 639 (22.14%), sementara mereka yang mencari keseronokan menyumbang kepada 491 (17.01%).

Sehubungan dengan itu, peranan ibu bapa penting. Namun bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang terlibat dengan gejala ini, tidak dinafikan perasaan marah, kecewa dan malu akan dirasai namun jangan pula membiarkan semua perasaan ini menguasai diri. Seluruh ahli keluarga amat penting untuk menentukan sama ada si anak atau ahli keluarga yang terlibat akan pulih, seterusnya menjadi manusia biasa atau akan terus menjadi penagih dadah tegar.

Dalam intipati ucapan sempena Hari Kebangsaan 1995, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada menyebut bahawa kejayaan yang dikecapi oleh negara kita telah menimbulkan berbagai-bagai masalah sosial seperti kegiatan tidak sihat di kalangan belia kita. Masalah ini mungkin timbul sebab ramai ibu bapa kini mengenepikan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan. Kesannya, anak-anak ini terbiar dan tidak lagi mendapat pedoman serta tunjuk ajar yang diperlukan. Walaupun masalah ini belum begitu rumit, jika tidak dibendung dari sekarang ianya boleh menjadi serius. Jika kita tidak berhati-hati, masalah keruntuhan moral di kalangan belia yang sedang menghantui Barat akan muncul di hadapan pintu kita.

Akta dan undang-undang: Sekadar catatan atau keinsafan?

Menyentuh mengenai undang-undang, Malaysia amat serius dengan masalah pengedaran dadah yang mana, ia boleh membunuh beribu-ribu manusia. Penyalahgunaan dadah juga boleh mengakibatkan sesebuah negara itu hancur. Contohnya, Republik Rakyat China. Satu ketika dulu, pada zaman Dinasti Ming, rakyat negara China begitu asyik menghisap candu, kesannya ialah negara China hampir menuju kehancuran. Kita di Malaysia juga harus mengambil ikhtibar sejarah negara luar yang gagal mengawal pengedaran dadah ini.

Menyingkap masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai undang-undang dadah paling keras di dunia. Tidak hairanlah jika tahun-tahun 1920-an dan 1930-an, beberapa enakmen dan pengikhtiharan mengenai dadah jenis candu yang berasingan telah diwujudkan kerana implikasi penggunaan dadah ternyata boleh menghancurkan hidup, masyarakat, ekonomi dan negara.

Dadah secara rationalnya digambarkan sebagai sesuatu yang negatif dan perlu dijauhi. Penyalahgunaan dadah berlaku apabila dadah digunakan bukan untuk tujuan perubatan dan diambil oleh seseorang tanpa pengawasan pihak perubatan. Dadah memberi kesan negatif ke atas sistem badan, tingkah laku manusia dan sebagainya. Keburukan yang diterima oleh pengambil dadah adalah lebih banyak berbanding kebaikan dan manfaatnya yang boleh didapati. Jika diteliti, dadah disalah gunakan untuk kepentingan diri sendiri seperti mengelakkan rasa sakit, mendapatkan rasa segar, mengelakkan tekanan hidup, melarikan daripada kesengsaraan dan sebagainya.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa dalam dadah terdapat bahan kimia beracun yang boleh menyebabkan ketagihan dan pergantungan hidup kepada dadah. Sebagai racun, dadah akan membinasakan saraf manusia dan boleh membawa maut. Pengambilan dadah memberikan kelegaan yang bersifat sementara dan kesengsaraan yang lama kepada pengambilnya.

Peranan Pertubuhan Belia

Golongan belia di negara ini merupakan kumpulan masyarakat yang paling ramai iaitu 42.54 % atau 11.12 juta penduduk adalah berumur 15-40 tahun. Mereka adalah harapan negara, khazanah dan aset penting negara. Bagi kita mendekati mereka, kita harus tahu kemahuan dan kecenderungan mereka. Belia merupakan golongan yang paling selesa melaksanakan aktiviti bersama rakan-rakan. Kebersamaan menjadi agenda penting untuk merealisasikan keseronokan dalam kehidupan mereka. Justeru kecenderungan bersama yang ada pada mereka perlu di cernakan dengan perkara yang bermanfaat. Untuk itu kepemimpinan di pelbagai peringkat, kepemimpinan persatuan belia perlu peka dan tahu akan perkara ini.

Sumbangan khidmat generasi belia menjadi lebih berkesan kerana dilaksanakan secara berkumpulan yang dijelmakan sebagai pertubuhan belia. Pertubuhan belia telah melahirkan pelbagai produk yang amat signifikan dan bermakna dalam pembangunan negara sama ada daripada segi kepemimpinan, kemasyarakatan, ekonomi, sosial, politik, perpaduan, keamanan dan sebagainya. Justeru itulah, kerajaan amat memandangkan tinggi peranan dan usaha yang dimainkan oleh kepemimpinan persatuan dan ahli-ahlinya.

Sehubungan itu usaha-usaha yang padu dan berterusan perlu dilakukan oleh pemimpin belia, pemimpin masyarakat, dan ibu bapa bagi menggalakkan anak-anak dan orang muda menyertai pertubuhan belia dan aktiviti yang dianjurkan. Buatlah seberapa banyak aktiviti yang boleh memupuk semangat kekitaan, kecintaan kepada negara, bangsa dan agama, tolong-menolong dan lain-lain yang berfaedah.

Hati dipagut rasa bimbang yang amat sangat, apabila kita lihat di dada-dada akhbar, setiap hari akan ada cerita berkenaan salah laku generasi muda. Masalah dadah, seks rambang, hiv/aids, lumba haram, rogol, bunuh dan banyak lagi. Ini amat menakutkan. Sekiranya tidak dibendung, saya pasti negara pada 2020 nanti akan menjadi maju tetapi dalam masa yang sama masyarakatnya terdiri daripada mereka yang tidak punya akhlak dan moral. Kebimbangan ini turut dirasai oleh YAB Perdana Menteri kita dan kerana itulah YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi sering kali menyebut akan modal insan dan personaliti unggul.

Kerana itulah majlis belia dan pertubuhan-pertubuhan belia (NGO) harus turun bersama-sama dengan masyarakat, mendekati dan membuat aktiviti yang mendatangkan faedah kepada masyarakat terutamanya generasi muda. Kepimpinan persatuan dan pertubuhan belia harus bersama-sama belia dan para pemimpin akar umbi persatuan belia, berbincang berkenaan masalah dadah dan masalah-masalah sosial yang lain.

Adalah menjadi hasrat YAB Perdana Menteri dan kerajaan untuk membina generasi belia yang berketerampilan dalam bidang kepimpinan, keusahawanan, kemahiran dan pengurusan organisasi dengan pemupukan nilai-nilai murni dan gaya hidup berkualiti bagi memperkukuhkan integriti nasional dan identiti bangsa Malaysia selaras dengan Wawasan 2020. Untuk itulah Pak Lah telah mengilhamkan konsep 3 K iaitu kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran untuk dihayati dan dipraktikkan oleh seluruh generasi belia.

Sehubungan itu, perkara ini merupakan cabaran dan peluang kepada generasi belia untuk menerokainya. Pemimpin perlu mengambil langkah proaktif untuk berhadapan dengan situasi ini. Kerjasama erat antara badan pertubuhan belia mampu mengatasi perkara ini. Di era globalisasi yang serba mencabar, negara ini memerlukan golongan belia yang berwawasan korporat, berkemahiran dan mempunyai ciri-ciri kepemimpinan bagi meneruskan agenda negara.

Oleh itu, jalan yang terbaik adalah mengelakkan diri daripada mengambil dadah. Sebagai umat Islam melalui Al Quran kita telah dilarang daripada mengambil bahan-bahan yang memabukkan seperti arak dan ini termasuklah juga dadah. Pengharaman ini sebenarnya mengandungi hikmat yang tersendiri untuk kebaikan hambaNya.

Jika menyedari bahaya dan risiko pengambilan dadah ini, sudah tentu ramai yang tidak akan menggunakannya. Namun, kerana faktor kejahilan dan menurut hawa nafsulah maka dadah diambil untuk kepentingan sementara tanpa menyedari potensi yang dibawanya sebagai pembunuh nombor satu dunia.

***Mohd Faizal Mohd Salleh ialah Ahli Majlis Tertinggi merangkap Pengerusi Biro Anti Dadah & Gejala Sosial GPMS Kebangsaan. Beliau juga merupakan Ketua Penerangan GPMS Shah Alam.

Pengasas GPMS- Aminuddin Baki

“Orang bertambah kaya, makmur hidupnya dan bertambah maju pelajarannya. Adakah kita akan terus menjadi pemerhati sahaja dan dengan demikian bertambah jauhlah tertinggal di belakang. Di zaman orang naik jet dan kapal angkasa, adakah kita akan terus berjalan kaki dan berkereta lembu? Relakah kita berdagang di tanah air sendiri?” (Aminuddin Baki, sebahagian petikan ucapan di Program Gerakan Obor pada 28 Januari 1964)

Aminuddin Baki adalah “Bapa Pendidikan Malaysia” dilahirkan pada 6 Januari 1926 di sebuah kampung dalam daerah kecil Chemor di Perak. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor dari tahun 1932 hingga 1936. Selepas lulus peperiksaan darjah lima beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson, Ipoh. Sekolah tersebut merupakan sekolah Inggeris terbaik dan mempunyai guru yang baik dan berpengalaman. Aminuddin belajar di sekolah tersebut dari tahun 1936 hingga 1941.

Sekitar tahun 1945 hingga 1946 beliau mula menunjukkan minat dengan persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Pada ketika itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-Penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946. Kesatuan ini telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyatukan semua persatuan pelajar di negara ini dan Aminuddin telah dilantik sebagai setiausaha. Pada masa yang sama beliau telah menubuhkan Persatuan Pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada bulan April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada bulan Oktober 1947 beliau diterima sebagai pelajar di Raffles College, sebuah kolej termasyhur.

Pada masa ini UMNO telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union. Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin persatuan pelajar digalakkan berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh kerana itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1949 Aminuddin terpaksa berhenti bergiat aktif dalam persatuan pelajar kerana ditawarkan ke Universiti Malaya. Pada ketika itu beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh sahaja. Semasa di universiti beliau berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman beliau telah mendaftar sebagai guru sambilan di Anglo-Malay Evening School. Beliau telah mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Dalam tahun 1950, beliau bergiat aktif dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan. Dalam tahun yang sama beliau telah lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, lulus Ijazah Kepujian Sarjana Sastera.

Selepas menamatkan pelajarannya, beliau kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah. Pada tahun 1951 hingga Julai, 1952, beliau telah berkhidmat di Sekolah Anderson. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Queen. Beliau meninggalkan Pulau Pinang dengan menaiki kapal SS Canton pada 12 Julai 1952. Aminuddin menamatkan pengajiannya pada bulan Julai 1953 dengan mendapat Ijazah Master of Methods dalam bidang pendidikan.

Selepas pulang ke tanahair beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Sumbangan besarnya kepada pelajar dengan memperkenalkan Sejarah Islam tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955, Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960 pula beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman.

Pada usia 36 tahun beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Pada masa yang sama beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan usaha beliau juga peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diwujudkan. Beliau telah menubuhkan Lembaga Peperiksaan pada tahun 1963. Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Pada ketika itu memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Salam Perjuangan

Assalammualaikum

Dalam kesempatan ini, saya bagi pihak Ahli Jawatankuasa GPMS Cawangan Shah Alam ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi melayari blog kami yang tak seberapa ini.

Hakikatnya, kami dah ada laman web sendiri, namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa beralih membina blog, kerana blog menjadi satu trend yang cukup ‘world’ ketika ini.

Oleh itu, kami tak mahu ketinggalan.

Sepanjang tahun lepas, banyak aktiviti yang telah dilakukan, namun sayangnya tidak dapat kami masukkan dalam laman web kami tersebut, insya-Allah berikan kami sedikit masa untuk memasukkan sekurang-kurangnya gambar-gambar aktiviti kami sepanjang tahun lepas.

Tahun lepas, antara aktiviti yang terbesar telah dilaksanakan ialah XPDC ke Gunung Kalapattar. Saudara Azrul atau lebih diknali sebagai Bond merupakan ‘mastermind’ projek berkenaan.

Sesungguhnya kami masih baru walaupun hakikat sebenarnya, kebanyakan ahli-ahli kami merupakan bekas ahli GPMS Cawangan Khas UiTM Shah Alam. Kami berbesar hati kerana terus diberikan peluang dan ruang sebgai sahabat-sahabat GPMS.

Insya-Allah, kami akan meneruskan perjuangan kami seperti di UiTM Shah Alam seperti dulu. Ini kerana perjuangan GPMS berlandaskan 4 SEDAR sudah bersemadi dalam diri kami. Insya-Allah:


SEDAR atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar-pelajar Melayu dari segenap lapisan.

SEDAR atas kemunduran kami di alam pengetahuan

SEDAR atas kewajipan kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa

SEDAR bahawa maju-mundur, kaya miskin dan hina-mulianya bangsa itu terletak di tangan kami.....


Salam perjuangan....