23 October 2008

MEREMAJAKAN GPMS

AKU yang bernama Mohd Faizal Mohd Salleh @ sahabat-gunung .... AMT GPMS memberikan pandangan aku agar GPMS Selangor terus hebat di mata masyarakat dan pelajar Melayu ....


Haruskah GPMS menerima Akta Belia? Mungkin ia satu persoalan yang bermain di fikiran segenap ahli-ahlinya, begitu juga dengan aku. Bagaimana dengan senior-senior yang dah lama bersama GPMS, mereka-mereka yang sudah cukup sebati dengan perjuangan GPMS, mampukah mereka untuk `keluar mengasingkan diri’ dari wadah perjuangan suci ini. Mampukan mereka?

Inilah yang aku utarakan dalam MAT GPMS Selangor baru-baru ini. Hakikatnya, memang Akta Belia ini dirangka demi memastikan kesinambungan perjuangan anak-anak muda dalam gerakan belia di Malaysia, namun pada pandangan peribadi aku, masih ada ruang untuk mereka-mereka yang `tua’ ini turut diberikan ruang bagi membantu yang muda.

Ini aku anggap sebagai ’peremajaan GPMS’, sebab GPMS sudah mula jauh di hati anak-anak muda Melayu khususnya pelajar Melayu. Mengapa? Adakah ini salah MT GPMS atau GPMS cawangan tak buat kerja... jangan cari salah siapa, tapi kaji apa yang kita buat demi menarik belia ke dalam GPMS.

Adakah dengan program-program Seminar, sebagaimana yang aku buat di Himpunan Pelajar Melayu Merdeka pada 14 Ogos 2008 di Intekma baru-baru ini, dapat menarik minat mereka. Aku tahu dan yakin, ia tidak mampu menarik minat, namun satu pendekatan lain harus digunakan bagi tujuan tersebut.

Dalam masa yang sama, aku turut mencadangkan agar diwujudkan Koperasi GPMS Selangor. Mungkin ia dapat membantu ahli-ahli selain mencari dana untuk kegiatan-kegiatan GPMS Selangor, selain menyediakan ruang dan peluang kepada ahlinya, untuk bergiat secara aktif dalam bidang perniagaan. Selain itu, perlu diwujudkan Majlis Veteran untuk ahli-ahli GPMS yang `tua @ veteran' agar perjuangan mereka terus kukuh bersama GPMS.

Dalam masa yang sama, hubungan sesama ahli GPMS di negeri Selangor harus diberikan perhatian, perlu diperbanyakkan program anjuran bersama GPMS cawangan-cawangan serta menjalin hubungan yang lebih erat bersama Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor (KPPMS), memandangkan mereka juga badan gabungan kepada GPMS.

Ini semua tidak boleh dijadikan impian, sekiranya kita di peringkat Selangor tidak benar-benar jujur dan komited untuk merealisasikannya. Sehubungan dengan itu, kerjasama semua pihak perlu seiring dengan impian, Insya-Allah GPMS akan kembali perkasa dan menjadi wadah perjuangan ’membebaskan’ pelajar-pelajar Melayu dari belenggu masalah.

Kepada tuhan ku mohon doa agar perjuangan GPMS diberkati dan dirahmati olehNya. `Belajar Terus Belajar’

GPMS SOKONG KONTRAK SOSIAL JADI MODUL PEMBELAJARAN

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ingin menyatakan sokongan penuh dan bersetuju dengan cadangan agar perkara Kontrak Sosial dijadikan sebagai sebahagian daripada modul pembelajaran di institusi pendidikan. Titah Duli Sultan Perak berkenaan perkara disebut wajar diangkat sebagai sebuah cadangan yang wajar dilaksanakan segera.

Presiden GPMS, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, GPMS ingin menyatakan pendirian bahawa 'apresiasi dan gerak rasa sejarah' (sense of history) ini adalah amat penting bagi sebuah bangsa yang berjaya. Sejarah tidak boleh dirubah-rubah mengikut kehendak dan kemahuan sendiri. Lebih malang lagi - sekiranya fakta sejarah diangkat secara songsang untuk mencapai maksud yang sempit dan kecil. Apa yang berlaku kebelakangan ini, wajar memberikan kita iktibar bahawa wujud segelintir individu yang sanggup 'menyongsangkan' sejarah untuk mencapai kepentingan peribadi yang cukup dangkal.

Saranan Duli Tuanku, wajar dilihat secara bersama dengan beberapa cadangan lain yang dikemukakan mutakhir ini - termasuk langkah mengadakan subjek Sejarah di peringkat yang paling asas. GPMS sememangnya bersetuju dan mengharapkan agar usaha dilaksanakan segera untuk memastikan modul pembelajaran sejarah dapat direalisasikan segera di peringkat yang awal. Ianya juga bersesuaian dengan ingatan tegas Majlis Raja-Raja tentang keperluan isu 'kontrak sosial' ini diterima dan dihargai oleh semua pihak.

GPMS cukup yakin - usaha pemantapan modul sejarah dan apresiasinya yang holistik akan mampu melahirkan generasi muda yang lebih bertanggungjawab dan 'sedar' dengan realiti yang ada. Kita tidak mahu melahirkan kalangan generasi muda yang tidak mempunyai langsung asas apresiasi kepada sejarah Bangsa.

Tamadun dan bangsa hebat dunia; adalah kalangan tamadun dan bangsa yang tidak pernah terkeliru dan dikelirukan oleh 'sejarah'. Fakta dan asas sejarah tidak boleh dijadikan isu yang boleh dirubah-rubah mengikut suasana politik dan sebagainya. Bangsa Malaysia perlu cepat belajar untuk menerima hakikat sejarah dan tidak cuba untuk menghuraikannya tanpa ada rasa kebertanggungjawaban.

Pelaksanaan segera kepada penyediaan modul sejarah ini akan memberikan impak yang baik. Kita tidak mahu wujud aliran apresiasi sejarah yang berbeza-beza hanya kerana untuk melampiaskan niat politik sesetengah pihak. Apa yang benar dan hakikat - mesti diterima sebagai asas kepada sejarah bangsa. Cubaan untuk merubah sejarah, dalam apa jua perspektif sekalipun; adalah suatu cubaan yang tidak bertanggungjawab.

04 September 2008

JASNI ABD RAHMAN DALAM KENANGAN



Al-Fatihah! Pada 1 September 2008 lalu, genap 4 tahun Arwah Jasnie (9505) meninggalkan kita. Segala kenangan bersamanya tetap kekal abadi dalam diri kita semua.

Arwah Jas seorang yang komited terhadap apa yang dibuatnya. Seorang yang berdedikasi dan senang bergaul dengan kita. Namun, Allah lebih menyayanginya, semoga rohnya di tempatkan bersama-sama orang yang beriman. Insya-Allah.

06 July 2008

SOKONG PERLUAS RAKAN MUDA KE SEKOLAH

Oleh: MOHD FAIZAL MOHD SALLEH
Pengerusi Biro Anti Dadah & Gejala Sosial
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung

Biro Anti Dadah dan Gejala Sosial, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (BADGS-GPMS) menyambut baik langkah Kementerian Belia dan Sukan untuk memperkenalkan program Rakan Muda pada peringkat sekolah sebagai satu cabang baru dalam kokurikulum untuk membolehkan program itu lebih dekat dengan pelajar sekolah.

Sehubungan dengan itu, BADGS-GPMS berharap agar tindakan dan langkah segera diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Pelajaran supaya pelaksanaannya lebih tersusun.

Secara peribadi, saya melihat langkah tersebut ibarat `melentur buluh bermula dari rebungnya', di mana segala usaha untuk melahirkan generasi muda yang gemilang, generasi muda yang bebas dari gejala sosial bermula dari peringkat sekolah lagi, kerana di peringkat inilah golongan muda mudah terdedah dengan gejala tidak sihat, umpamanya rokok, dadah dan gejala sosial yang lain.

Jika golongan ini tidak mula didekati bermula di peringkat sekolah, kita yakin pelajar-pelajar yang mempunyai pendidikan sempurna akan berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan mereka, namun mereka yang kurang cemerlang dalam pendidikan mereka, akan mudah terpengaruh dengan pengaruh rakan sebaya.

BADGS-GPMS memandang serius isu disiplin dan masalah sosial dikalangan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah pada hari ini. Isu ini telah dibangkitkan berulang-ulang kali oleh pelbagai pihak namun ianya masih tidak dapat diselesaikan. Sehubungan dengan itu, semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk bersama-sama berganding bahu memerangi isu masalah disiplin dan sosial di kalangan pelajar sekolah.

Masalah disiplin dikalangan pelajar ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Beberapa elemen penting yang menjadi para pelajar tidak berdisiplin perlulah dikaji. Latarbelakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. BADGS-GPMS berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat dibendung.

Oleh itu, pendekatan Kementerian Belia dan Sukan untuk memperluaskan program Rakan Muda ke sekolah merupakan satu langkah terbaik untuk pelajar mendekatkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. GPMS menyarankan akar Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelajaran memperbanyakkan aktiviti yang boleh menarik minat golongan belia menceburinya.

Golongan belia khususnya pelajar sekolah perlu diberi suntikan baru dengan ‘disogok’kan program-program baru dan segar. Dalam masa yang sama, kementerian juga harus mencari alternatif yang boleh meransang minat belia menyertai aktiviti-aktiviti yang digemari mereka. Penerapan semangat "Yakin Boleh" dikalangan anak muda adalah amat penting bagi membentuk generasi pelapis yang mempunyai daya tahan yang tinggi dan daya juang yang kental.

Suntikan semangat kembara dan meneroka sesuatu yang baru amat penting bagi membentuk ketahanan mental dan fizikal yang kental bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment pada masa hadapan. Semangat untuk menjadi perintis dalam sesuatu penerokaan baik di laut, gunung-ganang, hutan rimba, gua atau udara amat penting bagi membuktikan kepada masyarakat luar bahawa orang-orang Melayu khususnya generasi muda juga mempunyai keupayaan tinggi dalam pelbagai bidang.

Kita harus sedar, generasi muda merupakan golongan majoriti penduduk negara. Dijangkakan pada tahun 2020, penduduk yang berumur 15-39 tahun akan meningkat kepada 9.2 juta orang. Golongan ini mempunyai keupayaaan yang tinggi dari segi mental mahupun fizikal. Oleh itu, satu pembangunan yang sihat perlu diberikan supaya mereka menjadi manusia yang berilmu, beragama, bermoral tinggi, produktif, cergas, sihat dan bertanggungjawab.

Dalam konteks menuju perubahan inilah maruah dan martabat bangsa hendaklah dibangunkan secara gigih dan diperjuangkan secara global kerana kekuatan maruah dan martabat bangsa secara menyeluruh akan membawa impak kearah pembentukan bangsa dan tamadun yang lebih gemilang. Seluruh persiapan zahir dan batin perlu disediakan untuk generasi muda bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment masa depan.

Oleh itu, anak muda hari ini perlu dibekalkan dengan ketinggian intelek, kepelbagaian kemahiran, bermaklumat intensif, kreatif seiring dengan kemantapan etika, moral dan penghayatan nilai¬-nilai mumi. Dengan memiliki ciri-ciri tersebut akan dapat melahirkan satu tenaga kepimpinan berkualiti, berkemahiran tinggi dan mantap bagi menjamin keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara.

18 June 2008

KOP + KURSUS FASILITATOR

By SARACOCOHONEY aka watashi

Last weekend watashi n gang pg menjayakan kursus by GPMS Shah Alam untuk pelajar2 Unisel- Kursus Organisasi persatuan + Kursus Fasilitator... dah lama tak join motivational activities macam ni...dulu masa kitorg belajar kat UiTM selalu arr gak...sometimes 4-5 kali satu sem... tapi, tu dulu la...

From GPMS kitorg belajar tentang tanggung jawab, sedar akan kemunduran bangsa Melayu di alam pengetahuan, sedar akan tanggungjawab kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa... sedar akan maju mundur, kaya miskin, hina mulianya sesuatu bangsa itu adalah di tangan kami... sedar bangsa kita tak punya apa selain kuasa...

Skang kitorg agak dah cam dah tenggelam dengan komitmen... tanggungjawab makin berganda... keje...keje..keje...namun, kitorg beruntung sebab hidup masih lagi enjoy... tanggungjawab sosial selari dengan tanggungjawab lain... kitorg ada parents yg understanding...ada kawan2 yg supportive... ada geng2 yg sengal2 lutut tapi happening... They make us feel so ALIVE!

Kursus tu kat Pusat Rakan Muda, Puchong... first time gi sana...ok la tpt tu..bleh tahan... start kursus malam tu jugak...dalam kul 9.00 pm... Angah start bg pengenalan bangsa melayu... siap bukak perlembagaan lagi..belajar balik sejarah form 1-5 yek kengkawan...belajor balik kontrak sosial yer... hak2 org melayu...ketuanan melayu... akta2...ape da... mana ingat weh... watashi tak suka sejarah...there is no future in history... tapi...tu la... aper yang angah cakap tu mmg terasa la...cam kena kat batang hidung sendiri jek...kita kena pulihkan balik maruah bangsa kita...cara tak dipertikai janji matlamat tercapai...tapi kena igt, matlamat tak menghalalkan cara... kita bukan perwira....gagah menghunus senjata... berjuang la dengan cara sendiri... Wah! terlebih sudah!

Esoknya kursus pasal cemana nak handle persatuan, organization chart, peranan dan tanggungjawab- watashi masuk group untuk handle peranan AJK dan Ketua Penerangan memandangkan watashi memegang portfolio ketua penerangan GPMS Shah Alam... tak la pandai sangat nak ajar... tapi, inform jer la ape yg tau... sekali ngan watashi, abg faizal dan Nad... happening la group watashi pasal ramai... Lama tak handle group rasa gagap plak... asyik nak tershashul jek... dah berkarat dah watashi rupenya.. harap2 kalau ada aper2 yg watashi lupe bg tau tu, korang tambah2 sendirik la yek...







Watashi's n gang handling group "dak jahat"...di ketuai Shafiq sebagai Along bukit beruntung dan turut mendapat support dari kumpulan 'The Lima" versi Alleycat!

Petang tu Angah start balik ragging bebudak...kitorg tengok jer... (dalam ati: aku dulu pun kena macam korang gak...fair what!) watashi kat belakang bincang mende lain..citer pasal Ledang masing2 ngan Apek... Apek?...hmm...Apek sesat masuk GPMS...

Petang tu kitorg buat discussion untuk future prog- gerakan obor- dah start rancang aktiviti dan tentative- nampak sangat dah berkarat dah korang...-aku pung sama...

Malam tu, lepas diorg belajar nyanyi lagu GPMS dan warisan, kitorang main game 'Negara Bangsa' ...ala... game ala2 sim city tu... tapi Angah tu lembut sangat...tak cukup kejam...dulu masa kitorg Angah bg duit rm1 juta jer (tak puas ati)...bebudak ni Angah bg 500 juta...sungguh tak adil!

Tapi tu la...bebudak ni lembik sangat...500 juta pun tak cukup... kena soal ngan Angah sampai nangis.... last2 diorg surrender ... ape da.. korang nih...kami dulu berjuang sampai angah bengong tau!...tak per, belajar lagi yek?... ceh! belagak plak!

Lepas surrender, time tu dah kul 2 pagi dah... bebudak muka semua dah senget2 dah... Angah soh diorg buat SWOT analysis la plak...masa di beri 1 jam...maknanya kul 3 baru present... tak payah... watashi gi tido dulu yer...watashi cam tak terlibat jer...korang nak buat ape, buat la... dah lari timing nih!

Esoknya bebudak kena bincang Takwim sepanjang 2008...bagus2 la cadangannya...nampak ada ciri2 mengikut idola..saper idolanya? jeng..jeng..jeng...jeng...

Abis bincang takwim, kitorang siap2 lunch then bertolak balik...

16 June 2008

MISI KIBARAN JALUR GEMILANG GPMS- EVEREST BASE CAMP 2007




Oleh Muhamad Nur Azrul Che Zabani

NAMASTE!!! Berbekalkan semangat Malaysia Boleh dengan slogan “namamu di persada dunia, semangatmu di puncak dunia”, sekumpulan 21 pendaki muda negara daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Shah Alam berjaya menawan Gunung Kalla Pattar dan Everest Base Camp pada 16 dan 17 November lalu.

Kejayaan pendaki muda negara membabitkan enam wanita dan 15 lelaki itu mampu menepis pandangan sinis kemampuan mereka menawan ‘bumbung dunia’ di Banjaran Himalaya, Nepal itu.

Gunung Kalla Pattar setinggi 5,545 meter dan Everest Base Camp (5,360 meter) dengan suhu pada sebelah malam mencecah sehingga -14°C hingga -24°C manakala pada sebelah siang 0 °C hingga -7°C tidak dijadikan faktor penghalang semangat mereka.

Pendakian ke Gunung Kalla Pattar dan Everest Base Camp bukan mudah, ia memerlukan semangat yang tinggi, ketahanan fizikal dan mental serta tidak pernah mengalah selagi belum mencubanya.

Sepanjang pendakian pendaki disajikan dengan panorama yang cantik dan menarik ciptaan Yang Maha Esa.

Contohnya pemandangan Gunung Ama Dablam (6,812 m), Gunung Thamserku (6,623 m), Gunung Island Peak (5,120 m), Gunung Nuptse (7,855 m), Gunung Kalla Pattar (5,545 m), Gunung Pumori (7,161 m), Gunung Lhotse (8,516 m) dan yang paling indah sekali ialah Gunung Everest (8,848 m).

Pada tanggal 16 November tepat jam 3.30 petang, Gunung Kalla Pattar berjaya ditakluki seorang demi seorang. Pendakian 40 meter terakhir ke gunung itu memang sangat mencabar daya ketahanan pendaki kerana darjah pendakiannya sangat tinggi ditambah udara yang semakin nipis.

Setelah selesai bergambar pendaki mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Kalla Pattar dan disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku. Bergenang air mata apabila lagu Negaraku dinyanyikan oleh pendaki tanda kepuasan menawan puncak Kalla Pattar. Keperkasaan Kalla Pattar bagaikan hilang buat sementara akibat ditutupi oleh kibaran Jalur Gemilang.

Pada keesokan harinya 17 November, pendaki memulakan pendakian dari rumah persinggahan di Gorak Sheep (5,160 m) ke Everest Base Camp. Perjalanan untuk menakluk Everest Base Camp memang mencabar kerana pendaki terpaksa berjalan diatas bongkah batu besar, berjalan meredah salji, di celah lereng bukit yang memerlukan daya fleksibiliti dan kepekaan yang amat tinggi bila membabitkan aspek keselamatan.

Sepanjang perjalanan pendaki disajikan dengan tiga kali runtuhan salji di Gunung Lhotse (8,516 m). Memang menakjubkan kerana itulah kali pertama pendaki melihat sendiri runtuhan salji di hadapan mata.

Perjalanan dari Gorak Sheep mengambil masa selama empat jam untuk sampai ke Everest Base Camp dan pendaki berjaya menawannya tepat jam 12.34 tengah hari.

Pendaki berpelukan dan menangis kerana kepuasan yang tidak terhingga kerana pendakian selama 10 hari itu amat berbaloi buat mereka. Sekali lagi Jalur Gemilang berkibar megah di Everest Base Camp dan gambar lima bekas Perdana Menteri Malaysia turut dikibarkan.

Pada awal pendakian lagi pendaki terpaksa berhadapan dengan suhu amat sejuk pada sebelah malam yang mencecah -14°C sehingga -24°C manakala pada sebelah siang 0°C hingga -7°C. Ini juga satu daripada cabaran utama bagi pendaki selain mendaki gunung dan bukit menuruni lembah dan permatang sepanjang hari dari jam 7 pagi hinggalah jam 4.30 petang.

Timbalan Pengarah Program yang juga Yang Dipertua GPMS Cawangan Shah Alam, Amir Hamzah, berkata hanya semangat Malaysia Boleh dan Aku Boleh saja yang terpahat dalam hati pendaki ketika pendakian ke puncak Gunung Kalla Pattar dan Everest Base Camp.

“Pelbagai dugaan dan halangan terpaksa kami lalui sepanjang tempoh pendakian selama 13 hari. Antaranya batuk akibat debu yang tebal, cirit-birit, hilang selera makan, rasa loya, pening yang teramat sangat, muntah dan demam yang berpanjangan. Ini semua tidak mematahkan semangat pendaki untuk sampai ke Bumbung Dunia,” katanya.

13 June 2008

MAJLIS SUAI KENAL GPMS UNISEL SHAH ALAM

Baru-baru ini, GPMS Unisel Shah Alam telah mengadakan majlis suai kenal dan majlis penerangan mengenai hala tuju dan peranan GPMS kepada ahli-ahli baru GPMS Unisel Shah Alam baru-baru ini.
Saudara Amir dan Saudara Faizal memberikan penerangan kepada ahli-ahli GPMS Unisel Shah Alam mengenai hala tuju dan peranan GPMS.


Program tersebut bertujuan untuk membuka peluang kepada ahli-ahli baru GPMS Unisel untuk mengenali GPMS dan menyelami arah tuju perjuangan GPMS terhadap kepentingan pelajar Melayu khususnya pelajar Melayu di Unisel Shah Alam.

Bagi menyatakan sokongan kepada mereka, rakan-rakan seperjuangan dari GPMS Shah Alam turut sama memeriahkan majlis yang dihadiri kira-kira 50 orang ahli baru GPMS Shah Alam.

Sahabat-sahabat kita yang turut sama dalam program tersebut ialah Amir Hamzah, Zaizam, Sham dan juga Faizal.

Bagi pihak GPMS Shah Alam, kita mendoakan agar permulaan baik ini, GPMS Unisel Shah Alam dapat mengorak langkah yang baik dalam memperjuangkan kedudukan pelajar-pelajar Melayu di Unisel, serta berkongsi arah perjuangan bersama kita di GPMS Shah Alam untuk bersama-sama memperjuangkan pelajar Melayu di Shah Alam dan Selangor khususnya.


Selamat berjuang kepada semua adik-adik GPMS Unisel Shah Alam.

02 June 2008

Program Santai De kenyir V3

Program Santai De Kenyir V3 dianjurkan oleh GPMS Shah Alam bertujuan mengumpulkan kembali sahabat- sahabat ahli GPMS yang rata2nya sudah berumahtangga dan bekerja... Secara jujurnya, program kali ini mungkin tidak menjayakan misi dan visi GPMS secara amnya... Dah kata pun program santai kan? So, la la la la je...tapi program santai kali ini juga turut menjemput sahabat2 dari GPMS cawangan Unisel. Tujuannya untuk berkenal- kenalan agar satu hari nanti kami boleh berkolaborasi antara satu sama lain. Hasilnya satu program bersama telah dirancang untuk GPMS cawangan Unisel iaitu Program KOP (check out the entry on the right).

Please visit- http://srcocohoney.blogspot.com/ for more info of this program kay!

BIASISWA: GPMS AKAN JUMPA NAZRI

GPMS akan mengadakan pertemuan dengan menteri di JPM, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung isu penambahan kuota biasiswa JPA kepada bukan bumiputera yang mencecah 45%.

Presiden GPMS, Dato’ Reezal berkata, GPMS komited untuk mendalami isu berkenaan dengan lebih bersungguh-sungguh sebelum memberikan pandangan balas dan cadangan yang lebih konstruktif.

”GPMS dihujani banyak panggilan dari seluruh negara yang inginkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut. GPMS berharap kenyataan tersebut bukanlah dasar baru kerajaan. Tanpa mempunyai niat yang bersifat perkauman, keputusan tersebut wajar dinilai dan diteliti secara menyeluruh.”

Reezal berkata, GPMS berpegang kepada prinsip meritokrasi namun mengharapkan ia dilaksanakan dengan semangat dan mekanisme yang betul dan tepat.

Penganugerahan biasiswa perlu mengambil kira bukan sahaja soal ’merit pencapaian’ tetapi juga persoalan ’merit sosioekonomi’. Langkah itu juga adalah penting agar ruang untuk memperoleh pendidikan yang lebih tinggi dapat menjurus kepada kumpulan yang tepat dalam masyarakat Malaysia.

26 May 2008

Kenangan bersama Jasni9505


Ini merupakan gambar lama antara aku, doc9509 dan Mamat9557 bersama dengan arwah Jas9505. kalau tak silap aku, gambar ini adalah program ERA8, program terakhir ERA yang aku turut serta. (Kalau tak silap aku, pada tahun 2000).

Diharapkan kepada kawan-kawan lain yang mempunyai gambar-gambar lama, yang boleh berkongsi dalam blog kita nie (walaupun program tu masa kita kat GPMS-ITM Shah Alam).... silalah kirimkan pada saya.

Sekian.

Sahabat-Gunung

25 May 2008

GEJALA DADAH TERUS MEREBAK- Publisiti kesan buruk penagihan dadah seolah-olah tidak berkesan. Mengapa Jadi Begini?

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh (faizal9506@gmail.com)

DADAH adalah satu-satunya fenomena sosial paling rumit yang sedang dihadapi oleh negara. Masalah ini mula diperkatakan sejak tahun 70-an lagi, tetapi sehingga kini masih tidak menampakkan perubahan positif. Masalah dadah sebenarnya adalah masalah sejagat. Sebagai sebuah rantau yang dikatakan banyak menerima perubahan serta pembangunan, rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia turut mengalami pelbagai gejala sosial. Penyalahgunaan dadah terutamanya di kalangan remaja amat membimbangkan dan ia berkait rapat dengan bermacam penyakit sosial seperti pelacuran, lepak, dan perjudian. Perkara inilah yang banyak menggugat dan memudaratkan keadaan sesebuah negara sama ada dalam bidang ekonomi, sosio-budaya, politik mahupun keselamatan. Dengan lain perkataan, kemajuan serta pembangunan yang kita capai dan kecapi selama ini tidak akan berkekalan sekiranya masalah dadah tidak dapat diatasi segera.

Meneliti statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mencetuskan perasaan sedih dan membimbangkan.Laporan ini membentangkan statistik penagihan dadah terkini yang dikesan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mac 2007 yang dikumpul dan dikeluarkan oleh Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI). Sepanjang tempoh tiga bulan pertama pada tahun 2007 menunjukkan seramai 3,731 orang penagih dadah dikesan, namun menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 46.71% berbanding tempoh masa yang sama pada tahun 2006 iaitu 7,001 orang. Mereka terdiri daripada 1,738 orang (46.58%) penagih baru, menurun sebanyak 40.74% berbanding 2,933 orang bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. Manakala penagih berulang yang dikesan adalah seramai 1,993 orang (53.42%), menurun sebanyak 51.01% berbanding tahun 2006 iaitu sebanyak 4,068 orang.

Ramai Belia Terlibat

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2007, golongan belia yang berumur antara 19 hingga 39 tahun masih lagi majoriti penagih yang dikesan iaitu seramai 2,681 orang (72.62%) manakala seramai 93 orang (2.52%) adalah penagih remaja yang berusia di antara 13-18 tahun. Berdasarkan laporan AADK ini, kita boleh melihat masih ramai golongan belia yang terjemurus dalam perangkap najis dadah. Walaupun laporan ini menunjukkan sedikit penurunan jumlah penagih, namun ia masih belum dapat menyelamatkan generasi muda dari terjebak dalam lembah kehinaan ini.

Siapa harus dipersalahkan? Pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak lain sentiasa mengingatkan orang ramai, padahnya penyalahgunaan dadah, malah turut mengambil tindakan tegas terhadap semua yang terlibat seperti pengedar, penagih, penjual dan pembekal, tetapi hakikat ini seolah-olah langsung tidak mendatangkan kesan. Mengikut statistik, kategori umur antara 25 hingga 29 tahun merupakan bilangan penagih paling ramai dikesan (20.07%), satu hakikat yang amat membimbangkan kerana ia mampu menjadi satu wabak dan bencana yang menakutkan masyarakat dan negara.

Mengapa ia menakutkan masyarakat dan negara? Ini kerana dadah menjadi punca kepada bermacam perbuatan jenayah yang boleh membawa kepada kekacauan serta permasalahan dalam rumahtangga, masyarakat dan negara. Penagih dadah menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara seluruhnya manakala pengedar dadah pula menjadi ancaman besar kepada setiap individu dan boleh menjejaskan kesejahteraan negara dan agama. Jika ini berlaku, bagaimana kita mahu memperjudikan masa hadapan negara dan bangsa di tangan mereka kelak?

Faktor terjebak dalam penagihan dadah

Remaja adalah golongan yang paling mudah terpengaruh. Menurut statistik, mereka yang terjerumus ke kancah ini disebabkan pengaruh kawan atau teman sebaya sepanjang Januari hingga Mac 2007 adalah seramai 1,550 orang (53.71%) manakala faktor dorongan perasaan ingin tahu menyumbang 639 (22.14%), sementara mereka yang mencari keseronokan menyumbang kepada 491 (17.01%).

Sehubungan dengan itu, peranan ibu bapa penting. Namun bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang terlibat dengan gejala ini, tidak dinafikan perasaan marah, kecewa dan malu akan dirasai namun jangan pula membiarkan semua perasaan ini menguasai diri. Seluruh ahli keluarga amat penting untuk menentukan sama ada si anak atau ahli keluarga yang terlibat akan pulih, seterusnya menjadi manusia biasa atau akan terus menjadi penagih dadah tegar.

Dalam intipati ucapan sempena Hari Kebangsaan 1995, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada menyebut bahawa kejayaan yang dikecapi oleh negara kita telah menimbulkan berbagai-bagai masalah sosial seperti kegiatan tidak sihat di kalangan belia kita. Masalah ini mungkin timbul sebab ramai ibu bapa kini mengenepikan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa kerana terlalu sibuk mengejar kemewahan. Kesannya, anak-anak ini terbiar dan tidak lagi mendapat pedoman serta tunjuk ajar yang diperlukan. Walaupun masalah ini belum begitu rumit, jika tidak dibendung dari sekarang ianya boleh menjadi serius. Jika kita tidak berhati-hati, masalah keruntuhan moral di kalangan belia yang sedang menghantui Barat akan muncul di hadapan pintu kita.

Akta dan undang-undang: Sekadar catatan atau keinsafan?

Menyentuh mengenai undang-undang, Malaysia amat serius dengan masalah pengedaran dadah yang mana, ia boleh membunuh beribu-ribu manusia. Penyalahgunaan dadah juga boleh mengakibatkan sesebuah negara itu hancur. Contohnya, Republik Rakyat China. Satu ketika dulu, pada zaman Dinasti Ming, rakyat negara China begitu asyik menghisap candu, kesannya ialah negara China hampir menuju kehancuran. Kita di Malaysia juga harus mengambil ikhtibar sejarah negara luar yang gagal mengawal pengedaran dadah ini.

Menyingkap masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai undang-undang dadah paling keras di dunia. Tidak hairanlah jika tahun-tahun 1920-an dan 1930-an, beberapa enakmen dan pengikhtiharan mengenai dadah jenis candu yang berasingan telah diwujudkan kerana implikasi penggunaan dadah ternyata boleh menghancurkan hidup, masyarakat, ekonomi dan negara.

Dadah secara rationalnya digambarkan sebagai sesuatu yang negatif dan perlu dijauhi. Penyalahgunaan dadah berlaku apabila dadah digunakan bukan untuk tujuan perubatan dan diambil oleh seseorang tanpa pengawasan pihak perubatan. Dadah memberi kesan negatif ke atas sistem badan, tingkah laku manusia dan sebagainya. Keburukan yang diterima oleh pengambil dadah adalah lebih banyak berbanding kebaikan dan manfaatnya yang boleh didapati. Jika diteliti, dadah disalah gunakan untuk kepentingan diri sendiri seperti mengelakkan rasa sakit, mendapatkan rasa segar, mengelakkan tekanan hidup, melarikan daripada kesengsaraan dan sebagainya.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa dalam dadah terdapat bahan kimia beracun yang boleh menyebabkan ketagihan dan pergantungan hidup kepada dadah. Sebagai racun, dadah akan membinasakan saraf manusia dan boleh membawa maut. Pengambilan dadah memberikan kelegaan yang bersifat sementara dan kesengsaraan yang lama kepada pengambilnya.

Peranan Pertubuhan Belia

Golongan belia di negara ini merupakan kumpulan masyarakat yang paling ramai iaitu 42.54 % atau 11.12 juta penduduk adalah berumur 15-40 tahun. Mereka adalah harapan negara, khazanah dan aset penting negara. Bagi kita mendekati mereka, kita harus tahu kemahuan dan kecenderungan mereka. Belia merupakan golongan yang paling selesa melaksanakan aktiviti bersama rakan-rakan. Kebersamaan menjadi agenda penting untuk merealisasikan keseronokan dalam kehidupan mereka. Justeru kecenderungan bersama yang ada pada mereka perlu di cernakan dengan perkara yang bermanfaat. Untuk itu kepemimpinan di pelbagai peringkat, kepemimpinan persatuan belia perlu peka dan tahu akan perkara ini.

Sumbangan khidmat generasi belia menjadi lebih berkesan kerana dilaksanakan secara berkumpulan yang dijelmakan sebagai pertubuhan belia. Pertubuhan belia telah melahirkan pelbagai produk yang amat signifikan dan bermakna dalam pembangunan negara sama ada daripada segi kepemimpinan, kemasyarakatan, ekonomi, sosial, politik, perpaduan, keamanan dan sebagainya. Justeru itulah, kerajaan amat memandangkan tinggi peranan dan usaha yang dimainkan oleh kepemimpinan persatuan dan ahli-ahlinya.

Sehubungan itu usaha-usaha yang padu dan berterusan perlu dilakukan oleh pemimpin belia, pemimpin masyarakat, dan ibu bapa bagi menggalakkan anak-anak dan orang muda menyertai pertubuhan belia dan aktiviti yang dianjurkan. Buatlah seberapa banyak aktiviti yang boleh memupuk semangat kekitaan, kecintaan kepada negara, bangsa dan agama, tolong-menolong dan lain-lain yang berfaedah.

Hati dipagut rasa bimbang yang amat sangat, apabila kita lihat di dada-dada akhbar, setiap hari akan ada cerita berkenaan salah laku generasi muda. Masalah dadah, seks rambang, hiv/aids, lumba haram, rogol, bunuh dan banyak lagi. Ini amat menakutkan. Sekiranya tidak dibendung, saya pasti negara pada 2020 nanti akan menjadi maju tetapi dalam masa yang sama masyarakatnya terdiri daripada mereka yang tidak punya akhlak dan moral. Kebimbangan ini turut dirasai oleh YAB Perdana Menteri kita dan kerana itulah YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi sering kali menyebut akan modal insan dan personaliti unggul.

Kerana itulah majlis belia dan pertubuhan-pertubuhan belia (NGO) harus turun bersama-sama dengan masyarakat, mendekati dan membuat aktiviti yang mendatangkan faedah kepada masyarakat terutamanya generasi muda. Kepimpinan persatuan dan pertubuhan belia harus bersama-sama belia dan para pemimpin akar umbi persatuan belia, berbincang berkenaan masalah dadah dan masalah-masalah sosial yang lain.

Adalah menjadi hasrat YAB Perdana Menteri dan kerajaan untuk membina generasi belia yang berketerampilan dalam bidang kepimpinan, keusahawanan, kemahiran dan pengurusan organisasi dengan pemupukan nilai-nilai murni dan gaya hidup berkualiti bagi memperkukuhkan integriti nasional dan identiti bangsa Malaysia selaras dengan Wawasan 2020. Untuk itulah Pak Lah telah mengilhamkan konsep 3 K iaitu kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran untuk dihayati dan dipraktikkan oleh seluruh generasi belia.

Sehubungan itu, perkara ini merupakan cabaran dan peluang kepada generasi belia untuk menerokainya. Pemimpin perlu mengambil langkah proaktif untuk berhadapan dengan situasi ini. Kerjasama erat antara badan pertubuhan belia mampu mengatasi perkara ini. Di era globalisasi yang serba mencabar, negara ini memerlukan golongan belia yang berwawasan korporat, berkemahiran dan mempunyai ciri-ciri kepemimpinan bagi meneruskan agenda negara.

Oleh itu, jalan yang terbaik adalah mengelakkan diri daripada mengambil dadah. Sebagai umat Islam melalui Al Quran kita telah dilarang daripada mengambil bahan-bahan yang memabukkan seperti arak dan ini termasuklah juga dadah. Pengharaman ini sebenarnya mengandungi hikmat yang tersendiri untuk kebaikan hambaNya.

Jika menyedari bahaya dan risiko pengambilan dadah ini, sudah tentu ramai yang tidak akan menggunakannya. Namun, kerana faktor kejahilan dan menurut hawa nafsulah maka dadah diambil untuk kepentingan sementara tanpa menyedari potensi yang dibawanya sebagai pembunuh nombor satu dunia.

***Mohd Faizal Mohd Salleh ialah Ahli Majlis Tertinggi merangkap Pengerusi Biro Anti Dadah & Gejala Sosial GPMS Kebangsaan. Beliau juga merupakan Ketua Penerangan GPMS Shah Alam.

Pengasas GPMS- Aminuddin Baki

“Orang bertambah kaya, makmur hidupnya dan bertambah maju pelajarannya. Adakah kita akan terus menjadi pemerhati sahaja dan dengan demikian bertambah jauhlah tertinggal di belakang. Di zaman orang naik jet dan kapal angkasa, adakah kita akan terus berjalan kaki dan berkereta lembu? Relakah kita berdagang di tanah air sendiri?” (Aminuddin Baki, sebahagian petikan ucapan di Program Gerakan Obor pada 28 Januari 1964)

Aminuddin Baki adalah “Bapa Pendidikan Malaysia” dilahirkan pada 6 Januari 1926 di sebuah kampung dalam daerah kecil Chemor di Perak. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor dari tahun 1932 hingga 1936. Selepas lulus peperiksaan darjah lima beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson, Ipoh. Sekolah tersebut merupakan sekolah Inggeris terbaik dan mempunyai guru yang baik dan berpengalaman. Aminuddin belajar di sekolah tersebut dari tahun 1936 hingga 1941.

Sekitar tahun 1945 hingga 1946 beliau mula menunjukkan minat dengan persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Pada ketika itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-Penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946. Kesatuan ini telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyatukan semua persatuan pelajar di negara ini dan Aminuddin telah dilantik sebagai setiausaha. Pada masa yang sama beliau telah menubuhkan Persatuan Pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada bulan April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada bulan Oktober 1947 beliau diterima sebagai pelajar di Raffles College, sebuah kolej termasyhur.

Pada masa ini UMNO telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union. Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin persatuan pelajar digalakkan berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh kerana itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1949 Aminuddin terpaksa berhenti bergiat aktif dalam persatuan pelajar kerana ditawarkan ke Universiti Malaya. Pada ketika itu beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh sahaja. Semasa di universiti beliau berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman beliau telah mendaftar sebagai guru sambilan di Anglo-Malay Evening School. Beliau telah mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Dalam tahun 1950, beliau bergiat aktif dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan. Dalam tahun yang sama beliau telah lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, lulus Ijazah Kepujian Sarjana Sastera.

Selepas menamatkan pelajarannya, beliau kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah. Pada tahun 1951 hingga Julai, 1952, beliau telah berkhidmat di Sekolah Anderson. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Queen. Beliau meninggalkan Pulau Pinang dengan menaiki kapal SS Canton pada 12 Julai 1952. Aminuddin menamatkan pengajiannya pada bulan Julai 1953 dengan mendapat Ijazah Master of Methods dalam bidang pendidikan.

Selepas pulang ke tanahair beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Sumbangan besarnya kepada pelajar dengan memperkenalkan Sejarah Islam tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955, Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960 pula beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman.

Pada usia 36 tahun beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Pada masa yang sama beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan usaha beliau juga peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diwujudkan. Beliau telah menubuhkan Lembaga Peperiksaan pada tahun 1963. Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Pada ketika itu memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Salam Perjuangan

Assalammualaikum

Dalam kesempatan ini, saya bagi pihak Ahli Jawatankuasa GPMS Cawangan Shah Alam ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi melayari blog kami yang tak seberapa ini.

Hakikatnya, kami dah ada laman web sendiri, namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa beralih membina blog, kerana blog menjadi satu trend yang cukup ‘world’ ketika ini.

Oleh itu, kami tak mahu ketinggalan.

Sepanjang tahun lepas, banyak aktiviti yang telah dilakukan, namun sayangnya tidak dapat kami masukkan dalam laman web kami tersebut, insya-Allah berikan kami sedikit masa untuk memasukkan sekurang-kurangnya gambar-gambar aktiviti kami sepanjang tahun lepas.

Tahun lepas, antara aktiviti yang terbesar telah dilaksanakan ialah XPDC ke Gunung Kalapattar. Saudara Azrul atau lebih diknali sebagai Bond merupakan ‘mastermind’ projek berkenaan.

Sesungguhnya kami masih baru walaupun hakikat sebenarnya, kebanyakan ahli-ahli kami merupakan bekas ahli GPMS Cawangan Khas UiTM Shah Alam. Kami berbesar hati kerana terus diberikan peluang dan ruang sebgai sahabat-sahabat GPMS.

Insya-Allah, kami akan meneruskan perjuangan kami seperti di UiTM Shah Alam seperti dulu. Ini kerana perjuangan GPMS berlandaskan 4 SEDAR sudah bersemadi dalam diri kami. Insya-Allah:


SEDAR atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar-pelajar Melayu dari segenap lapisan.

SEDAR atas kemunduran kami di alam pengetahuan

SEDAR atas kewajipan kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa

SEDAR bahawa maju-mundur, kaya miskin dan hina-mulianya bangsa itu terletak di tangan kami.....


Salam perjuangan....