20 November 2009

Jelajah Jogjakarta 2009


Gunung Merapi, Jogjakarta, Indonesia.
17 hingga 22 Jun 2009.

Diantara aktiviti ahli GPMS-SA adalah melakukan aktiviti-aktiviti luar seperti mendaki gunung. Kami bukanlah asyik menjalankan latihan dan kursus motivasi sahaja tetapi sering juga menjalankan aktiviti rekreasi luar. Aktiviti menarik seperti ini selain dapat menguatkan mental dan fizikal ia juga dapat menambahkan pengalaman kami semua. Harus diingat! pengalaman seperti ini tidak ada di dalam buku atau kuliah..
.
"Jauh perjalanan luas pengalaman"
.
..adalah menjadi harapan kami juga agar adik-adik dan sahabat-sahabat di luar sana melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti ini.. ingat ya.. kita perlu ada rasa tanggungjawab bukan sahaja kepada diri kita sendiri dan keluarga tetapi perlu bertanggungjawab kepada kawan-kawan dan masyarakat juga.. kerana kawan-kawan dan masyarakatlah yang akan mempengaruhi perkembangan diri dan keluarga.
.
..untuk peringatan kami sendiri dan belia diluar sana.. "lihat dengan hati" keadaan generasi pewaris bangsa kita, sanggupkah kita melihat keruntuhan demi keruntuhan akhlak yang berlaku disekeliling kita? sumbangan dan keringat anda sangat diperlukan untuk membentuk generasi Cemerlang yang Berintegriti dan Akauntabiliti!


"di atas puncak itu kami melihat kebesaran maha pencipta.. kami bersyukur dan kami mengerti akan kerdilnya diri ini.. kami abadikan setiap memori dalam diri untuk terus berbakti"
.
"yang ada di atas puncak gunung itu adalah ketenangan... siapa pencipta gunung itu.. carilah untuk mendapat ketenangan itu"
.
"Perjuangan Belum Selesai ke? Ataupun Perjuangan Harus Diteruskan..."
.
Disediakan oleh,
Saudara Mohd Fairoze Mazly Bin Hj. Zulkifli











10 November 2009

Sekitar program 'Santai GPMS Shah Alam' @ Kg Janda Baik, Bentong

Tahniah kepada Pengarah Program 'Santai GPMS Shah Alam', saudari Liana Haslan Tan yang telah merangka dan menjadikan program ini satu realiti.

Komitmen dan penyertaan sahabat-sahabat dari GPMS Shah Alam serta kehadiran 2 orang bekas orang kuat GPMS Shah Alam yang kini memimpin dan memberikan nafas baru kepada GPMS Subang, saudari Bibi Zaleha (YDP) dan saudara Naqiuddien (TYDP), serta kehadiran Shafiq (x- YDP Unisel) untuk sama-sama merasai kehidupan keluarga GPMS Shah Alam, amat-amat dihargai.

Program yang bertujuan untuk mengumpulkan semula sahabat-sahabat GPMS Shah Alam serta mengeratkan hubungan sesama ahli, diadakan di Kg Janda Baik, Bentong Pahang pada 8 November lalu.

Semoga dengan kejayaan program ini, GPMS Shah Alam akan mengorak langkah lebih berani dan mantap tahun depan untuk melaksanakan program-program yang akan memberi nilai dan makna kepada perjuangan GPMS itu sendiri.

Dengan kekuatan dan komitmen sahabat-sahabat kita, hala tuju dan perancangan tahun depan akan lebih menjurus kepada aktiviti `santai pendidikan' yang akan diterajui oleh saudara Sham bersama kepimpinannya.

Diharap pada program-program yang akan datang. lebih ramai sahabat-sahabat kita dapat menyertai program yang kita anjurkan. Insya-Allah.






20 September 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Assalamualaikum wbt. Di penghujung Ramadhan, kami warga GPMS Shah Alam ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan serata dunia. Kami berharap hari lebaran esok akan disambut dengan penuh keinsafan dan kesyukuran atas limpah kurnia Allah swt kepada negara kita.

Khusus kepada pembaca blog GPMS Shah Alam, serta sesiapa yang mengikuti perkembangan GPMS Shah Alam melalui platform yang lain, kami menyusun jari memohon ampun maaf sekiranya ada sebarang kesilapan yang diperlakukan atau terserlah mana-mana kekurangan kami selaku hamba Allah yang biasa. Semoga Syawal ini akan membawa kepada perpaduan di antara kita rakyat 1Malaysia - memperkasakan ummah demi kesejahteraan semua.

GPMS Cawangan Shah Alam
www.gpms-shahalam.blogspot.com

15 September 2009

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim Di Rumah Solehah

GPMS Cawangan Shah Alam (GPMS-SA) telah berkesempatan untuk memeriahkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim pada 12hb September 2009. Program anjuran Yayasan Salam Malaysia itu telah diadakan di Rumah Solehah, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Seramai 11 orang wakil dari cawangan ini telah meluangkan masa untuk bermesra bersama adik-adik dirumah tersebut. Seterusnya berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah. Jelas perasaan gembira terpancar diwajah-wajah mereka dengan kehadiran abang-abang dan kakak-kakak walaupun hanya untuk seketika.

Penghuni rumah tersebut seramai 20 orang terdiri daripada adik-adik yang berumur 3 tahun hingga 14 tahun. Apa yang mengharukan adalah kebanyakan daripada adik-adik tersebut telah dijangkiti virus HIV positif. Ada juga yang telah ditinggalkan dan tidak dapat dikesan IbuBapa mereka. Terdapat juga adik-adik yang cacat dan mangsa penderaan.

GPMS-SA berpendapat bahawa usaha-usaha seperti ini perlulah diberikan sokongan penuh oleh badan-badan bukan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta dalam bentuk sumbangan tenaga atau kewangan bagi membantu meringankan beban pihak pengurusan.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada sukarelawan Yayasan Salam Malaysia diatas usaha mereka. Semoga niat murni ini dapat diteruskan lagi dalam meniupkan sifat kasih dan sayang sesama insan ke dalam diri sebagai khalifah di bumi Malaysia tercinta. Ucapan terima kasih juga kepada wakil kami Saudari Siti Sarah yang juga merupakan wakil Yayasan Salam Malaysia dan Mak Wan, Pengetua Rumah Solehah kerana memberikan peluang ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H dan Maaf Zahir Batin buat adik-adik serta warga Rumah Solehah. Selamat Maju Jaya.

07 August 2009

Ucapan Pengarah Program Pertandingan Bowling GPMS Shah Alam

Assalamualaikum.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program Pertandingan Boling GPMS Shah Alam 2009 ini secara langsung atau tidak langsung.

Tahniah kepada para pemenang dan kepada peserta yang lain sila cuba lagi di masa akan datang. Secara tidak langsung program ini mengajar kita apa ertinya "fokus! dalam tindakan" seperti yang selalu kita gunakan jangan jadi belon, tetapi bertindak.

Tindakan melulu sahaja tidak cukup tanpa fokus.Oleh itu, marilah kita jadikan program ini sebagai program tahunan yang ditunggu-tunggu untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dikalangan sahabat.

Semoga gabungan ini terus mekar di hati kita. Tahniah dan terima kasih.

"FOKUS! DALAM TINDAKAN"
"Belajar Terus Belajar"



Mohd Fairoze Mazly
Pengarah Program.

Bowling GPMS Shah Alam @ Summit USJ (6 Ogos 09)

Lama betul tak update blog GPMS Shah Alam nie...Lagipun dah lama tak buat program, masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga. Aku faham, kerana aku juga begitu.











Bowling GPMS Shah Alam @ Summit USJ

Aku berkesempatan untuk menemui sahabat-sahabatku di GPMS Shah Alam. Dapat jumpa Angah, Amir, Tom, Sham, Zaizam, Ujang, Din, Pak Mat, Prof Zaidi, Liana, My, Najmi dan ramai lagi

Macam tak percaya, jumpa balik Mamat (anakledang9577)... yang sekejap hilang, sekejap ada... Tapi rasa-rasanya, 5-6 tahun gak tak jumpanya.

Lebih menarik.... melalui My, aku dapat hubungi Faisal@Taring. Anak buah aku masa kursus ERA GPMS Kebangsaan, 14 tahun lalu. Lepas call Faisal.... dalam 10minit aku dapat sms dari sorang lagi anak buah aku... Linda dan kemudian dapat satu call dari Fairose yang juga salah seorang peserta kursus. Ketiga-tiga mereka ini dari GPMS Nilai... kalau tak silaplah .... terperanjat gak mulanya. Ah. Itulah namanya GPMS. Semangat persaudaraan dan persahabatan antara kami amat erat. Mungkin sebab itulah, aku terus setia bersama GPMS sehingga ke hari ini.

Berbalik kepada Bowling GPMS Shah Alam nie, memandangkan kami dah jarang berjumpa, malah Angah pun dah stay kat Jepun sekarang (tapi sanggup balik Malaysia semata-mata untuk bersama kami)....Ajak pun telah diarahkan untuk merencanakan program ini.

Tahniah pada Ajak... berjaya menjayakan program kali ini dengan baik, walaupun tidak dapat mengumpul 100% sahabat-sahabat lama, namun ia merupakan satu permulaan yang baik.

Tahniah buat Tom.... peserta lelaki terbaik. Najmi...peserta wanita terbaik.

23 October 2008

MEREMAJAKAN GPMS

AKU yang bernama Mohd Faizal Mohd Salleh @ sahabat-gunung .... AMT GPMS memberikan pandangan aku agar GPMS Selangor terus hebat di mata masyarakat dan pelajar Melayu ....


Haruskah GPMS menerima Akta Belia? Mungkin ia satu persoalan yang bermain di fikiran segenap ahli-ahlinya, begitu juga dengan aku. Bagaimana dengan senior-senior yang dah lama bersama GPMS, mereka-mereka yang sudah cukup sebati dengan perjuangan GPMS, mampukah mereka untuk `keluar mengasingkan diri’ dari wadah perjuangan suci ini. Mampukan mereka?

Inilah yang aku utarakan dalam MAT GPMS Selangor baru-baru ini. Hakikatnya, memang Akta Belia ini dirangka demi memastikan kesinambungan perjuangan anak-anak muda dalam gerakan belia di Malaysia, namun pada pandangan peribadi aku, masih ada ruang untuk mereka-mereka yang `tua’ ini turut diberikan ruang bagi membantu yang muda.

Ini aku anggap sebagai ’peremajaan GPMS’, sebab GPMS sudah mula jauh di hati anak-anak muda Melayu khususnya pelajar Melayu. Mengapa? Adakah ini salah MT GPMS atau GPMS cawangan tak buat kerja... jangan cari salah siapa, tapi kaji apa yang kita buat demi menarik belia ke dalam GPMS.

Adakah dengan program-program Seminar, sebagaimana yang aku buat di Himpunan Pelajar Melayu Merdeka pada 14 Ogos 2008 di Intekma baru-baru ini, dapat menarik minat mereka. Aku tahu dan yakin, ia tidak mampu menarik minat, namun satu pendekatan lain harus digunakan bagi tujuan tersebut.

Dalam masa yang sama, aku turut mencadangkan agar diwujudkan Koperasi GPMS Selangor. Mungkin ia dapat membantu ahli-ahli selain mencari dana untuk kegiatan-kegiatan GPMS Selangor, selain menyediakan ruang dan peluang kepada ahlinya, untuk bergiat secara aktif dalam bidang perniagaan. Selain itu, perlu diwujudkan Majlis Veteran untuk ahli-ahli GPMS yang `tua @ veteran' agar perjuangan mereka terus kukuh bersama GPMS.

Dalam masa yang sama, hubungan sesama ahli GPMS di negeri Selangor harus diberikan perhatian, perlu diperbanyakkan program anjuran bersama GPMS cawangan-cawangan serta menjalin hubungan yang lebih erat bersama Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor (KPPMS), memandangkan mereka juga badan gabungan kepada GPMS.

Ini semua tidak boleh dijadikan impian, sekiranya kita di peringkat Selangor tidak benar-benar jujur dan komited untuk merealisasikannya. Sehubungan dengan itu, kerjasama semua pihak perlu seiring dengan impian, Insya-Allah GPMS akan kembali perkasa dan menjadi wadah perjuangan ’membebaskan’ pelajar-pelajar Melayu dari belenggu masalah.

Kepada tuhan ku mohon doa agar perjuangan GPMS diberkati dan dirahmati olehNya. `Belajar Terus Belajar’

GPMS SOKONG KONTRAK SOSIAL JADI MODUL PEMBELAJARAN

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ingin menyatakan sokongan penuh dan bersetuju dengan cadangan agar perkara Kontrak Sosial dijadikan sebagai sebahagian daripada modul pembelajaran di institusi pendidikan. Titah Duli Sultan Perak berkenaan perkara disebut wajar diangkat sebagai sebuah cadangan yang wajar dilaksanakan segera.

Presiden GPMS, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, GPMS ingin menyatakan pendirian bahawa 'apresiasi dan gerak rasa sejarah' (sense of history) ini adalah amat penting bagi sebuah bangsa yang berjaya. Sejarah tidak boleh dirubah-rubah mengikut kehendak dan kemahuan sendiri. Lebih malang lagi - sekiranya fakta sejarah diangkat secara songsang untuk mencapai maksud yang sempit dan kecil. Apa yang berlaku kebelakangan ini, wajar memberikan kita iktibar bahawa wujud segelintir individu yang sanggup 'menyongsangkan' sejarah untuk mencapai kepentingan peribadi yang cukup dangkal.

Saranan Duli Tuanku, wajar dilihat secara bersama dengan beberapa cadangan lain yang dikemukakan mutakhir ini - termasuk langkah mengadakan subjek Sejarah di peringkat yang paling asas. GPMS sememangnya bersetuju dan mengharapkan agar usaha dilaksanakan segera untuk memastikan modul pembelajaran sejarah dapat direalisasikan segera di peringkat yang awal. Ianya juga bersesuaian dengan ingatan tegas Majlis Raja-Raja tentang keperluan isu 'kontrak sosial' ini diterima dan dihargai oleh semua pihak.

GPMS cukup yakin - usaha pemantapan modul sejarah dan apresiasinya yang holistik akan mampu melahirkan generasi muda yang lebih bertanggungjawab dan 'sedar' dengan realiti yang ada. Kita tidak mahu melahirkan kalangan generasi muda yang tidak mempunyai langsung asas apresiasi kepada sejarah Bangsa.

Tamadun dan bangsa hebat dunia; adalah kalangan tamadun dan bangsa yang tidak pernah terkeliru dan dikelirukan oleh 'sejarah'. Fakta dan asas sejarah tidak boleh dijadikan isu yang boleh dirubah-rubah mengikut suasana politik dan sebagainya. Bangsa Malaysia perlu cepat belajar untuk menerima hakikat sejarah dan tidak cuba untuk menghuraikannya tanpa ada rasa kebertanggungjawaban.

Pelaksanaan segera kepada penyediaan modul sejarah ini akan memberikan impak yang baik. Kita tidak mahu wujud aliran apresiasi sejarah yang berbeza-beza hanya kerana untuk melampiaskan niat politik sesetengah pihak. Apa yang benar dan hakikat - mesti diterima sebagai asas kepada sejarah bangsa. Cubaan untuk merubah sejarah, dalam apa jua perspektif sekalipun; adalah suatu cubaan yang tidak bertanggungjawab.

04 September 2008

JASNI ABD RAHMAN DALAM KENANGAN



Al-Fatihah! Pada 1 September 2008 lalu, genap 4 tahun Arwah Jasnie (9505) meninggalkan kita. Segala kenangan bersamanya tetap kekal abadi dalam diri kita semua.

Arwah Jas seorang yang komited terhadap apa yang dibuatnya. Seorang yang berdedikasi dan senang bergaul dengan kita. Namun, Allah lebih menyayanginya, semoga rohnya di tempatkan bersama-sama orang yang beriman. Insya-Allah.

06 July 2008

SOKONG PERLUAS RAKAN MUDA KE SEKOLAH

Oleh: MOHD FAIZAL MOHD SALLEH
Pengerusi Biro Anti Dadah & Gejala Sosial
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung

Biro Anti Dadah dan Gejala Sosial, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (BADGS-GPMS) menyambut baik langkah Kementerian Belia dan Sukan untuk memperkenalkan program Rakan Muda pada peringkat sekolah sebagai satu cabang baru dalam kokurikulum untuk membolehkan program itu lebih dekat dengan pelajar sekolah.

Sehubungan dengan itu, BADGS-GPMS berharap agar tindakan dan langkah segera diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Pelajaran supaya pelaksanaannya lebih tersusun.

Secara peribadi, saya melihat langkah tersebut ibarat `melentur buluh bermula dari rebungnya', di mana segala usaha untuk melahirkan generasi muda yang gemilang, generasi muda yang bebas dari gejala sosial bermula dari peringkat sekolah lagi, kerana di peringkat inilah golongan muda mudah terdedah dengan gejala tidak sihat, umpamanya rokok, dadah dan gejala sosial yang lain.

Jika golongan ini tidak mula didekati bermula di peringkat sekolah, kita yakin pelajar-pelajar yang mempunyai pendidikan sempurna akan berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan mereka, namun mereka yang kurang cemerlang dalam pendidikan mereka, akan mudah terpengaruh dengan pengaruh rakan sebaya.

BADGS-GPMS memandang serius isu disiplin dan masalah sosial dikalangan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah pada hari ini. Isu ini telah dibangkitkan berulang-ulang kali oleh pelbagai pihak namun ianya masih tidak dapat diselesaikan. Sehubungan dengan itu, semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk bersama-sama berganding bahu memerangi isu masalah disiplin dan sosial di kalangan pelajar sekolah.

Masalah disiplin dikalangan pelajar ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Beberapa elemen penting yang menjadi para pelajar tidak berdisiplin perlulah dikaji. Latarbelakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. BADGS-GPMS berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat dibendung.

Oleh itu, pendekatan Kementerian Belia dan Sukan untuk memperluaskan program Rakan Muda ke sekolah merupakan satu langkah terbaik untuk pelajar mendekatkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. GPMS menyarankan akar Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelajaran memperbanyakkan aktiviti yang boleh menarik minat golongan belia menceburinya.

Golongan belia khususnya pelajar sekolah perlu diberi suntikan baru dengan ‘disogok’kan program-program baru dan segar. Dalam masa yang sama, kementerian juga harus mencari alternatif yang boleh meransang minat belia menyertai aktiviti-aktiviti yang digemari mereka. Penerapan semangat "Yakin Boleh" dikalangan anak muda adalah amat penting bagi membentuk generasi pelapis yang mempunyai daya tahan yang tinggi dan daya juang yang kental.

Suntikan semangat kembara dan meneroka sesuatu yang baru amat penting bagi membentuk ketahanan mental dan fizikal yang kental bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment pada masa hadapan. Semangat untuk menjadi perintis dalam sesuatu penerokaan baik di laut, gunung-ganang, hutan rimba, gua atau udara amat penting bagi membuktikan kepada masyarakat luar bahawa orang-orang Melayu khususnya generasi muda juga mempunyai keupayaan tinggi dalam pelbagai bidang.

Kita harus sedar, generasi muda merupakan golongan majoriti penduduk negara. Dijangkakan pada tahun 2020, penduduk yang berumur 15-39 tahun akan meningkat kepada 9.2 juta orang. Golongan ini mempunyai keupayaaan yang tinggi dari segi mental mahupun fizikal. Oleh itu, satu pembangunan yang sihat perlu diberikan supaya mereka menjadi manusia yang berilmu, beragama, bermoral tinggi, produktif, cergas, sihat dan bertanggungjawab.

Dalam konteks menuju perubahan inilah maruah dan martabat bangsa hendaklah dibangunkan secara gigih dan diperjuangkan secara global kerana kekuatan maruah dan martabat bangsa secara menyeluruh akan membawa impak kearah pembentukan bangsa dan tamadun yang lebih gemilang. Seluruh persiapan zahir dan batin perlu disediakan untuk generasi muda bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment masa depan.

Oleh itu, anak muda hari ini perlu dibekalkan dengan ketinggian intelek, kepelbagaian kemahiran, bermaklumat intensif, kreatif seiring dengan kemantapan etika, moral dan penghayatan nilai¬-nilai mumi. Dengan memiliki ciri-ciri tersebut akan dapat melahirkan satu tenaga kepimpinan berkualiti, berkemahiran tinggi dan mantap bagi menjamin keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara.