16 June 2008

MISI KIBARAN JALUR GEMILANG GPMS- EVEREST BASE CAMP 2007




Oleh Muhamad Nur Azrul Che Zabani

NAMASTE!!! Berbekalkan semangat Malaysia Boleh dengan slogan “namamu di persada dunia, semangatmu di puncak dunia”, sekumpulan 21 pendaki muda negara daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Shah Alam berjaya menawan Gunung Kalla Pattar dan Everest Base Camp pada 16 dan 17 November lalu.

Kejayaan pendaki muda negara membabitkan enam wanita dan 15 lelaki itu mampu menepis pandangan sinis kemampuan mereka menawan ‘bumbung dunia’ di Banjaran Himalaya, Nepal itu.

Gunung Kalla Pattar setinggi 5,545 meter dan Everest Base Camp (5,360 meter) dengan suhu pada sebelah malam mencecah sehingga -14°C hingga -24°C manakala pada sebelah siang 0 °C hingga -7°C tidak dijadikan faktor penghalang semangat mereka.

Pendakian ke Gunung Kalla Pattar dan Everest Base Camp bukan mudah, ia memerlukan semangat yang tinggi, ketahanan fizikal dan mental serta tidak pernah mengalah selagi belum mencubanya.

Sepanjang pendakian pendaki disajikan dengan panorama yang cantik dan menarik ciptaan Yang Maha Esa.

Contohnya pemandangan Gunung Ama Dablam (6,812 m), Gunung Thamserku (6,623 m), Gunung Island Peak (5,120 m), Gunung Nuptse (7,855 m), Gunung Kalla Pattar (5,545 m), Gunung Pumori (7,161 m), Gunung Lhotse (8,516 m) dan yang paling indah sekali ialah Gunung Everest (8,848 m).

Pada tanggal 16 November tepat jam 3.30 petang, Gunung Kalla Pattar berjaya ditakluki seorang demi seorang. Pendakian 40 meter terakhir ke gunung itu memang sangat mencabar daya ketahanan pendaki kerana darjah pendakiannya sangat tinggi ditambah udara yang semakin nipis.

Setelah selesai bergambar pendaki mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Kalla Pattar dan disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku. Bergenang air mata apabila lagu Negaraku dinyanyikan oleh pendaki tanda kepuasan menawan puncak Kalla Pattar. Keperkasaan Kalla Pattar bagaikan hilang buat sementara akibat ditutupi oleh kibaran Jalur Gemilang.

Pada keesokan harinya 17 November, pendaki memulakan pendakian dari rumah persinggahan di Gorak Sheep (5,160 m) ke Everest Base Camp. Perjalanan untuk menakluk Everest Base Camp memang mencabar kerana pendaki terpaksa berjalan diatas bongkah batu besar, berjalan meredah salji, di celah lereng bukit yang memerlukan daya fleksibiliti dan kepekaan yang amat tinggi bila membabitkan aspek keselamatan.

Sepanjang perjalanan pendaki disajikan dengan tiga kali runtuhan salji di Gunung Lhotse (8,516 m). Memang menakjubkan kerana itulah kali pertama pendaki melihat sendiri runtuhan salji di hadapan mata.

Perjalanan dari Gorak Sheep mengambil masa selama empat jam untuk sampai ke Everest Base Camp dan pendaki berjaya menawannya tepat jam 12.34 tengah hari.

Pendaki berpelukan dan menangis kerana kepuasan yang tidak terhingga kerana pendakian selama 10 hari itu amat berbaloi buat mereka. Sekali lagi Jalur Gemilang berkibar megah di Everest Base Camp dan gambar lima bekas Perdana Menteri Malaysia turut dikibarkan.

Pada awal pendakian lagi pendaki terpaksa berhadapan dengan suhu amat sejuk pada sebelah malam yang mencecah -14°C sehingga -24°C manakala pada sebelah siang 0°C hingga -7°C. Ini juga satu daripada cabaran utama bagi pendaki selain mendaki gunung dan bukit menuruni lembah dan permatang sepanjang hari dari jam 7 pagi hinggalah jam 4.30 petang.

Timbalan Pengarah Program yang juga Yang Dipertua GPMS Cawangan Shah Alam, Amir Hamzah, berkata hanya semangat Malaysia Boleh dan Aku Boleh saja yang terpahat dalam hati pendaki ketika pendakian ke puncak Gunung Kalla Pattar dan Everest Base Camp.

“Pelbagai dugaan dan halangan terpaksa kami lalui sepanjang tempoh pendakian selama 13 hari. Antaranya batuk akibat debu yang tebal, cirit-birit, hilang selera makan, rasa loya, pening yang teramat sangat, muntah dan demam yang berpanjangan. Ini semua tidak mematahkan semangat pendaki untuk sampai ke Bumbung Dunia,” katanya.

No comments: